Kee Abdullah

Kee Abdullah ialah salah seorang pemimpin orang-orang Melayu tempatan ketika era penjajahan British di Tawau, Sabah. Beliau bersama-sama Habib Sheikh, Imam Mustapa dan Serang Saman adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang dilantik oleh Kerajaan British untuk bertugas di pejabat Residen Inggeris di Tawau semasa pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Mereka adalah wakil orang-orang Melayu yang menduduki kerusi dalam Mahkamah Anak Negeri ( native court ) pada tahun 1922. Nama asal beliau sebenarnya ialah Kee Kim Swee. Setelah memeluk agama Islam , beliau memilih Abdullah sebagai nama Islam beliau dan seterusnya dikenali sebagai Kee Abdullah ataupun OKK Kee Abdullah.[1] Berketurunan Sino Dusun dan dilahirkan pada tahun 1863. Ibu beliau bernama Kipas adalah berketurunan Dusun Tutung. Walau bagaimanapun beliau pernah dipelihara sebagai anak angkat oleh seorang penduduk kampung di Bandau berbangsa Melayu Suluk bernama Pak Ibrahim. Keadaan ini bermula pada tahun 1885 iaitu ketika berlakunya suatu trajedi hitam dalam hidup beliau. Semasa beliau dan bapa beliau dalam pelayaran ke Kudat atas urusan perniagaan, kapal yang mereka naiki karam di perairan Kudat. Beliau telah diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Hussein semasa hanyut di laut pada ketika itu, bapa beliau pula mati lemas dalam trajedi itu. Ketika beliau berumur 31 tahun, beliau memulakan kerjaya beliau di dalam jabatan kerajaan sebagai kerani di Sandakan dan kemudiannya ditugaskan di Silam.[2]Oleh kerana latar pendidikan beliau yang baik dan mempunyai kemahiran kerja yang tinggi, beliau diberi kepercayaan oleh Pegawai Daerah Inggeris di Lahad Datu, Alexander Rankin Dunlop untuk ditugaskan di Tawau pada 16 Oktober 1894 sebagai wakil beliau merangkap jawatan Pemeriksa Kastam dan Pemungut Hasil. Antara tugas utama beliau sebagai wakil kerajaan Inggeris ialah membuat pungutan Cukai Diri ( Poll Tax) bernilai $1 untuk setiap penduduk yang menjadi rakyat di bawah naungan Kerajaan British. Tidak lama selepas itu, Alexander Dunlop juga berpindah ke Tawau dan menjawat jawatan sebagai Residen Tawau yang pertama dan bertugas bersama sama Kee Abdullah di pejabat Residen.Selama beliau bertugas di Tawau, beliau menjalankan tanggungjawab dengan mesra dan ini menjadikan hubungan beliau dengan masyarakat setempat khususnya masyarakat Melayu sangat erat. Akhirnya beliau mendirikan rumahtangga dengan gadis tempatan berketurunan Melayu Suluk bernama Jumatiah binti Ami Maiden dan dikurniakan beberapa orang cahaya mata yang antaranya merupakan pemimpin yang berjasa dan disegani di Tawau seperti OKK Abu Bakar atau Penghulu Abu Bakar. Penghulu Abu Bakar adalah pemimpin Melayu yang berjasa ketika era Pendudukan Tentera Jepun dan era Penyatuan Bangsa Melayu selepas era Perang melalui PKMT dan PIT. Anak-anak beliau yang lain ialah Suleiman bin Abdullah, bapa mertua kepada Datuk Abu Bakar Titingan, Pengerusi USNO Tawau iaitu pemimpin Melayu Tawau yang berjasa di dalam usaha mencapai kemerdekaan Tawau dan Sabah bersama Malaysia.